BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Followers

Monday, July 20, 2009

TIADA KES BARU H1N1 DILAPORKAN

KUALA LUMPUR: Sehingga jam 8 pagi ini, tiada kes baru Influenza A(H1N1) dilaporkan ke hospital, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata, jumlah kes terkumpul Influenza A(H1N1) yang disahkan di negara sehingga kini adalah sebanyak 874 kes yang terdiri daripada 567 kes import dan 307 kes jangkitan tempatan. "Tiada kematian akibat jangkitan Influenza A(H1N1) dilaporkan dan juga tiada kejadian kluster Influenza Like Illness (ILI) yang disahkan akibat jangkitan Influenza A(H1N1)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Liow berkata, walaupun tiada kes baru yang dilaporkan hari ini, ia tidak bermakna tiada jangkitan Influenza A(H1N1) yang berlaku dalam masyarakat. "Kementerian akan terus membuat pemantauan kejadian kes yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian kluster ILI. Pada fasa mitigasi ini, hanya kes jangkitan yang teruk dan berkomplikasi sahaja akan dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan," katanya. Beliau berkata, daripada keseluruhan 874 kes yang disahkan positif virus itu, 862 pesakit (98.6 peratus) telah sembuh, tujuh orang (0.8 peratus) sedang menerima rawatan di hospital manakala lima (0.6 peratus) pesakit masih meneruskan rawatan sebagai pesakit luar.
Liow berkata, bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orang ramai amatlah diperlukan dengan mengamalkan kebersihan diri dan menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya satu meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan. Merujuk kepada situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memaklumkan bahawa sehingga jam 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes Influenza A (H1N1) yang dilaporkan adalah sebanyak 133,755 kes dengan 760 kematian dari 155 negara iaitu pertambahan 120 kes. "Dua buah negara baru yang disenaraikan adalah Solomon Island dan Guam, Amerika Syarikat. Negara yang melaporkan pertambahan kes adalah Hong Kong (62 kes), Australia (47 kes), New Zealand (lima kes) dan Malaysia (tiga kes). "Tiada pertambahan jumlah kematian iaitu kes kekal pada 760 kematian," katanya. - Bernama

0 manusia nak cakap mende kat aku:

siapa itu???

BLOGGERS