Pegawai kesihatan tiada alat tepat kesan penghidap H1N1
WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan dunia sudah berputus asa untuk mengira bilangan orang yang dijangkiti virus selesema babi atau Influenza A (H1N1) dan percaya adalah lebih baik hanya menganggarkannya saja kerana virus berkenaan tidak dapat dihalang daripada terus tersebar. Malah, pegawai kanan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), Dr Anne Schuchat, turut enggan membuat anggaran, walaupun mengatakan penghidap virus itu melebihi sejuta orang.
Mengapa pegawai sepertinya juga enggan membuat kiraan adalah disebabkan mereka dan pihak berkuasa kesihatan tidak memiliki alat yang boleh membuat kiraan. "Selain itu, kebanyakan orang yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan tidak mengetahui apa penyebabnya. Malah, kebanyakan orang yang mengalami influenza tidak mengetahui dengan tepat jenis selesema yang menyebabkan penyakit mereka," kata Schuchat kepada media. Ujian diagnostik bagi influenza juga tidak begitu bagus. Malah, selesema babi biasanya disyaki apabila alat ujian segera untuk menguji seorang pesakit tidak dapat memberi bacaan.
"Saya fikir apa yang kita semua tahu, diagnostik kita ada hadnya," kata Pegawai Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia, Robin Robinso, memberitahu pakar vaksin selesema dalam mesyuarat, minggu ini. "Saya fikir kita semua perlu bersetuju ada keperluan memperbaiki ujian penjagaan diagnostik," kata pakar kanak-kanak, Dr John Modlin, yang mempengerusikan jawatankuasa vaksin bagi menasihatkan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA). Menyedari keperluannya, FDA memberi kebenaran menggunakan ujian kecemasan 'Quest Diagnostics Inc' bagi mengesahkan virus H1N1, ujian komersial ketiga setakat ini. Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri berhenti mengira kes disahkan selesema babi atas alasan adalah lebih penting untuk memberi tumpuan ke arah usaha membendung penyebarannya.
CDC kemudian berkata, ia juga akan menghentikan kiraan jangkitan selesema babi. "Kami fikir berjuta-juta orang dijangkiti," kata Schuchat, namun menambah ia hanyalah di hujung jari kerana hanya kes paling serius biasanya diarah ke hospital untuk diuji. – Reuters

0 comments:

Labels

Archive