BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Followers

Monday, August 10, 2009

9 LAGI KORBAN H1N1

KUALA LUMPUR: Sembilan lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) disahkan di seluruh negara semalam, menjadikan angka korban wabak itu meningkat kepada 27 orang - satu keadaan yang disifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai semakin meruncing. Berikutan itu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Influenza Antara Kementerian yang dipengerusikan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini bagi merumuskan langkah terbaik untuk mengawal penularan virus itu. "Kita boleh bertindak drastik seperti membatalkan semua perhimpunan awam, tetapi banyak keperluan yang kita harus ambil kira sebelum buat keputusan seumpamanya.
"Majlis seperti mesyuarat Umno bahagian atau perhimpunan utama membabitkan parti atau agensi kerajaan tidak boleh dihentikan sewenang-wenangnya. "Justeru, saya nak dengar pandangan semua pihak sebelum buat keputusan, termasuk berbincang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Muhyiddin sekembalinya dari Australia," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang di sini, semalam. Di PERTH, Muhyiddin berkata, kerajaan bersedia melaksanakan pelan di luar jangkaan untuk menangani wabak H1N1, antaranya menunda tarikh peperiksaan utama - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Itu jika kita tidak dapat menangani keadaan yang kini semakin serius. Saya harap kita tidak sampai ke tahap itu," katanya dalam sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air, semalam. Beliau yang dalam rangka lawatan kerja selama lima hari ke Perth, berkata buat masa ini sukar untuk membuat jangkaan apa yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sama ada penularan wabak H1N1 itu akan terus berleluasa atau situasi menjadi reda. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata ada juga pilihan lain iaitu pelajar yang dijangkiti atau menjadi suspek H1N1, boleh menduduki peperiksaan di hospital. "Kita ada pelan kontigensi tetapi kita harap ia tidak perlu dilaksanakan kalau wabak ini boleh dikawal dan kes yang berlaku tidak menyeluruh ke semua sekolah seluruh negara kerana yang terbabit mungkin beberapa sekolah daripada 10,000 sekolah.
"Kita dah beritahu dulu, kalau di sekolah, yang utama sekali jadual peperiksaan itu masih kekal, tak tunda. Tetapi kalau perlu, kita akan cuba laksanakan pelan kontigensi untuk memastikan supaya peperiksaan itu masih boleh diteruskan, (dengan) apa cara sekali pun," katanya. Muhyiddin berkata, beliau akan berbincang lanjut dengan Ketua Pengarah Pelajaran mengenai langkah yang perlu diambil termasuk menunda tarikh peperiksaan jika perlu, tetapi berharap langkah drastik itu tidak berlaku. Beliau berkata, kerajaan juga tidak boleh mengenakan undang-undang untuk menyekat mereka yang tidak sihat daripada keluar berdasarkan keperluan kuarantin di rumah kerana ia akan dianggap mengongkong kebebasan. Katanya, apa yang perlu ialah kesedaran mendalam dan semua orang perlu patuh kepada arahan serta nasihat seperti terkandung dalam 22 langkah yang diumumkan sebelum ini supaya wabak itu tidak terus menular. Ditanya sama ada kerajaan sudah mengambil langkah secukupnya untuk mengawal wabak H1N1 daripada terus meragut nyawa, Muhyiddin berkata, semua pihak dan agensi perlu membantu Kementerian Kesihatan.

0 manusia nak cakap mende kat aku:

siapa itu???

BLOGGERS